counter

Klik Disini Untuk Mengetahui Lebih Lanjut.

Ahad, 24 November 2013

Keputusan Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi UMNO 2013 : Tawfiq ke-27 daripada 64 calon bertanding.

Bismillah Hirrahman Nirrahim.

Umum telah mengetahui pada 20hb Oktober 2013 lebih kurang 1 bulan yang lalu, keputusan rasmi Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi UMNO 2013-2016 telah diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JKPU) 2013, Ybhg Tan Sri Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali. Seramai 25 kerusi telahpun diisi oleh calon yang menang berdasarkan bilangan undi yang diperolehi secara majoriti disetiap bahagian Umno diseluruh Malaysia.

Percubaan kali pertama bagi Yang Berhormat Datuk Haji Tawfiq Bin Datuk Seri Panglima Abu Bakar Titingan untuk mengisi 25 tempat bagaimanapun tidak berjaya.  Mendapat tempat ke-27 daripada 64 calon yang bertanding merupakan suatu yang cukup baik.  

3 Calon AMT UMNO daripada Sabah iaitu YB Datuk Abdul Rahman Dahlan (DARD), YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan YB Datuk Bung Mokhtar Radin telah berjaya mendapat tempat dalam merebut kerusi AMT UMNO untuk sesi 2013-2016.

Diharapkan calon-calon yang menang AMT UMNO 2013-2016 khususnya daripada Sabah dapat memikul tanggungjawab dan amanah untuk memperjuangkan hak dan nasib anak bangsa Bumiputra di Sabah dan menyuarakan perkara yang difikirkan penting untuk negeri Sabah dalam setiap kali mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.

Salam Ikhlas,

HASIDY HARUN.

Jumaat, 27 September 2013

Tawfiq Abu Bakar Titingan

Bismillah Hirrahman Nirrahim.

TAWFIQ ABU BAKAR TITINGAN,
Calon Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Pusat bernombor 8.



Saya mengenali CALON AMT UMNO 2013-2016 ini sudah lama.  Mengikuti perkembangan kepimpinan politik beliau sejak beliau memegang jawatan Naib Ketua Pemuda Bahagian P.165 Tawau (1995) sehinggalah memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian P.190 Tawau.  Ramai mengetahui susuk tubuh insan bernama Tawfiq ini merupakan seorang Jurutera Kimia Profesional yang mempunyai Ijazah Kejuruteraan Kimia daripada University Of South Wales, England.  Beliau sanggup melepaskan jawatan di Syarikat Konglomerat Minyak (SHELL) terkenal di dunia ini dan menceburi bidang perniagaan demi menyahut seruan perjuangan ekonomi bumiputra di Sabah tempat dimana tumpah darah kelahiran beliau.


Entri blog saya kali ini bukanlah ingin memperkenalkan kepada pembaca mengenai hal-hal berkaitan kelayakan beliau kerana sememangnya beliau layak untuk dicalonkan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Pusat.  Saya ingin membawa pembaca-pembaca sekalian menyoroti sifat peribadi yang ada pada beliau yang wajar dijadikan contoh kepada pemimpin-pemimpin lain khususnya mereka yang diberi mandat mewakili rakyat diperingkat negeri dan pusat.


 Kemesraan Tawfiq Abu Bakar Titingan dengan rakyat, sempena menyambut Maal Hijrah peringkat Batu Payung, Tawau.

Tawfiq merupakan insan yang sederhana.  Anugerah peribadi yang diberikan ALLAH S.W.T kepada beliau cukup membuatkan rakyat dikawasan beliau beruntung mendapat seorang pemimpin seperti ini.  Beliau Open Minded dan menerima cadangan dan kritikan yang membina.  Sangat peka terhadap permasalahan masyarakat dikawasan beliau.



Rakyat marhaen boleh saja bertemu Tawfiq untuk mengadu masalah tanpa mengira tempat, asalkan ada pen dan tempat untuk menulis. Itulah keperibadian insan bernama Tawfiq


Saya teringat sewaktu saya bertemu 4 mata bersama beliau pada kursus kepimpinan UMNO peringkat bahagian Tawau/Kalabakan (Mei 2008) dimana beliau terlebih dahulu menyebut nama saya ketika bersalaman dan berpelukan di akhir kursus tersebut.  Beliau begitu mesra walaupun dengan orang yang beliau tidak kenali.  Tidak menyangka beliau seorang pengingat.  Saya pernah berborak bersama rakan sekolah rendah beliau yang kini bertugas di Daerah Kunak, katanya Tawfiq masih mengingati nama beliau walaupun berpuluh tahun tidak bertemu.  Inilah antara sifat ataupun keperibadian yang tinggi nilainya yang jarang sekali manusia diberi ingatan kuat terhadap insan yang bergelar pemimpin.  Kita faham kebanyakan pemimpin kita hari ini bukannya lupa atau tidak kenal kepada rakan-rakan seperjuangan ataupun kenalan ketika dibangku sekolah atau dimana-mana, ini disebabkan faktor usia serta jarang bertemu sehingga mereka tidak ingat nama-nama rakan mereka.  Salute kepada beliau.



 Bertemu rakyat adalah aktiviti beliau dihujung minggu tanpa perlu majlis protokol, beliau sanggup turun padang mengambil tahu masalah rakyat.
  
Saya pernah terserempak dengan beliau ketika sedang memasuki kapal terbang untuk pulang ke Tawau.  Ketika sedang memasuki pintu 1 kapal tersebut, saya sekali lagi terserempak dengan beliau yang duduk di tempat duduk First Class, beliau melihat dan menyapa saya.  Sambil saya berdiri dan beliau duduk, sempat lagi kami berborak bertanya khabar, umpama hubungan keakraban kami sudah lama terjalin.  Sedang penumpang lain yang mengekori dibelakang saya terhenti seketika dek kerana halangan saya yang sedang berbual dengan beliau itu.  


 Rakyat boleh saja bertemu dan bersantai minum bersama Tawfiq (bertopi merah) bila-bila masa asalkan beliau ada masa terluang walaupun sesaat, beliau pasti akan datang.


Antara kekaguman saya terhadap beliau ketika beliau memegang jawatan di dalam kerajaan negeri Sabah sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri Sabah (2004-2008) dan Pembantu Menteri Kewangan Negeri Sabah (2008-2013), dimana tugas beliau ini meliputi seluruh negeri Sabah.  Pun begitu, kesibukan beliau tidak sedikitpun menghalang beliau untuk turun dan bertemu rakyat dikawasan beliau setiap hujung minggu ada saja program bertemu rakyat yang mana beliau sendiri yang datang dan merasmikan program tersebut tanpa mewakilkan sesiapa. 

Tawfiq menghadiri aktiviti belia dan beliawanis.  Umno perlu pemimpin seperti ini yang melihat belia sebagai tonggak pembangunan dan kemajuan negara.
  
Saya fikir akar umbi tidak rugi dan tidak salah memilih Calon AMKT Umno ini kerana beliau berwawasan, berpandangan jauh, mesra rakyat, kuat pegangan agama dan berpendidikan tinggi.  Akar umbi perlu melihat jauh ke hadapan kerana politik hari ini memerlukan seorang yang berketrampilan untuk membantu pucuk kepimpinan UMNO merealisasikan transformasi yang sedang berjalan ini.  Pemimpin-pemimpin Umno di Sabah harus dan wajar memberi sokongan padu dan tidak berbelah bagi terhadap beliau.


Akhir kata, saya berdoa pada hari Jumaat yang mulia ini dan sentiasa berdoa kepada ALLAH S.W.T agar dapat membuka pintu hati akar umbi UMNO di setiap cawangan dan bahagian di seluruh Malaysia memberi peluang kepada beliau untuk meneruskan legasi kepimpinan intelektual, keterbukaan, berani dan menyahut transformasi parti serta membeliakan parti UMNO. Tatkala UMNO masih haus dan lapar mencari pemimpin sebegini, inilah masanya.

 
Coretan Ikhlas daripada saya khas untuk akar umbi UMNO.

 Hasidy Harun

Khamis, 26 September 2013

Pemilihan UMNO 2013

Bismillah Hirrahman Nirrahim



Beberapa minggu kebelakangan ini, media arus perdana, alternatif, elektronik, cetak mahupun laman sosial dipenuhi dengan cerita dan berita tentang pemilihan UMNO.  Pemilihan kali ini menjadi tumpuan kerana dikatakan ada perubahan daripada sudut mekanisma dan kaedah memilih kepimpinan di peringkat bahagian dan pusat di seluruh negara.

Pemilihan kali ini dikatakan terbuka dan lebih demokratik.  Pemilihan UMNO kali ini menampakkan keterbukaan ahli untuk menyahut seruan transformasi politik semasa yang dibawa oleh pucuk pimpinan memandangkan suasana dan keadaan politik hari ini berbeza berbanding 5-10 tahun lalu. 

UMNO bukanlah parti pilihan utama rakyat di Malaysia tetapi ia merupakan parti keramat dan parti terbesar kaum Melayu dan Bumiputera.  Seperti yang kita sedia maklum, dasar perjuangan UMNO adalah memartabatkan dan memperjuangkan nasib kaum Melayu Bumiputera dan Islam di Malaysia yang dikatakan sedikit ketinggalan daripada sudut ekonomi, pendidikan, pemilikan ekuiti dan pelbagai lagi.  Pemilihan kepimpinan di peringkat bahagian dan pusat yang berlaku setiap 3-4 tahun sekali ini perlu dilakukan sejajar dengan peruntukan perlembagaan UMNO dan peruntukan Akta Pertubuhan 1966.

Berbalik kepada cerita pemilihan UMNO.  Tahun 2009, kaedah pemilihan secara kuota sokongan digunapakai untuk memilih pucuk kepimpinan di peringkat bahagian dan pusat.  Sesiapa yang ingin bertanding di peringkat bahagian dan pusat, perlu mendapat kuota sokongan dan mandat tertentu daripada cawangan-cawangan di sesuatu bahagian  (kepimpinan di peringkat Bahagian) dan bahagian-bahagian (kepimpinan di peringkat Pusat).  Tetapi hari ini, syarat menyertai pemilihan adalah terbuka sambil mengekalkan syarat asas iaitu ahli UMNO selama 3 tahun untuk semua jawatan di dalam UMNO itu.  Syarat ini juga terpakai untuk pemilihan di peringkat sayap UMNO iaitu sayap Wanita, sayap Pemuda dan sayap Puteri.

Saya tidaklah arif tentang politik kepartian dan seumpamanya.  Malah, saya lebih cenderung untuk melihat, menilai dan mencerna perkembangan politik tanahair secara keseluruhan.  Minat untuk menyertai, menempatkan dan menceburkan diri di dalam arena politik tempatan/bahagian memang ada tetapi ALLAH belum mengizinkannya dan tidak semestinya menyertai UMNO.

Media sering menghebahkan tujuan utama mekanisme baru pemilihan kali ini dilaksanakan adalah untuk memberi peluang kepada ahli akar umbi memilih pemimpin parti secara terus.  Berbeza dengan pemilihan sebelum ini dimana, pemilihan dikatakan tidak demokratik dan tidak secara menyeluruh.  Politik wang atau rasuah politik kedengaran semasa pemilihan lalu dan kali ini dikatakan cara serta kaedah pemilihan kali ini boleh menutup ruang berlakunya Politik Wang atau Rasuah Politik yang mana boleh menyebabkan parti dan negara lingkup dan musnah.

Saya tidak mahu berceloteh terlalu panjang mengenai pemilihan UMNO kali ini.  Tetapi secara keseluruhan, saya melihat pemilihan kali ini adalah sihat dan sengit untuk pertandingan beberapa jawatan utama di peringkat pusat dan di peringkat bahagian.  Saya berharap pemilihan ini berlangsung dalam keadaan dan suasana kekeluargaan dan diharapkan tidak berlakunya apa-apa perkara yang tidak dingini seperti yang pernah berlaku sebelum ini, ekoran taksub dengan seseorang pemimpin dan kumpulan-kumplan pemimpin tertentu.

Saya sebagai rakyat marhaen telah, sedang dan akan sentiasa melihat perkembangan politik samada dalam parti itu atau mana-mana parti serta perkembangan politik tempatan/bahagian dan negara amnya.  Oh ya, saya hampir terlupa, tarikh pendaftaran pemilihan di semua jawatan di peringkat bahagian dan pusat adalah pada 21 September 2013.  Manakala, tarikh pemilihan UMNO kali ini dibuat pada 12 Oktober 2013 untuk sayap Wanita, Pemuda dan Puteri di semua peringkat di semua bahagian secara serentak.  Manakala, tarikh pemilihan kepimpinan di peringkat bahagian dan pusat diadakan pada 19 Oktober 2013 di semua bahagian UMNO di seluruh negara juga secara serentak.

Kepada rakan-taulan, sahabat-handai, keluarga dan kenalan yang telah mendaftarkan diri bertanding di mana-mana jawatan di peringkat bahagian dan pusat, saya mengucapkan selamat berjaya dan kembalikanlah niat untuk memperjuangkan nasib bangsamu. Semoga beroleh keberkatan dan kejayaan dalam perjuangan.

Sekian, terima kasih.


HASIDY HARUN

Jumaat, 20 September 2013

Isu Pengurangan Subsidi Bahan Bakar Di Rancangan Landskap (RTM1)

Bismillah Hirrahman Nirrahim.


Pada 06 September 2013, pukul 9 malam, RTM melalui rancangan siaran lansung bualbicara TV yang diberi nama LANDSKAP telah membincangkan Isu Rasionalisasi Pengurangan Subsidi Bahan Bakar. Tetamu kehormat yang dijemput dalam rancangan ini adalah Y.B Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Malaysia.

Dalam rancangan tersebut, saya telah mengemukakan pandangan mengenai isu tersebut melalui laman Facebook rancangan itu dan telah menarik perhatian pengacara rancangan itu untuk dibawa ke pengetahuan Datuk Seri Abdul Wahid Omar untuk diulas secara langsung.

Berikut adalah pertanyaan pendapat rancangan tersebut di laman Facebook.



Dibawah ini adalah pandangan saya.



Mungkin saudara/i pembaca tidak dapat melihat dengan jelas apa yang tertulis di gambar tersebut. Walaubagaimanapun, saudara/i klik pada gambar tersebut untuk lebih jelas lagi atau melayari laman web https://www.facebook.com/landskaptv1


Sekian, terima kasih.

HASIDY HARUN





Cadangan Dan Pandangan Untuk Bajet 2014

Bismillah Hirrahman Nirahim.

Baru-baru ini, kerajaan Malaysia telah membuka ruang dan peluang kepada rakyat untuk mengemukakan usul dan cadangan untuk bajet 2014 yang akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan pada hujung Oktober 2013. Ini merupakan platfrom keterbukaan kerajaan menerima pandangan secara menyeluruh dari segenap lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang pendidikan, agama, kebudayaan dan bangsa.

Saya turut tidak ketinggalan mengambil peluang ini untuk mengemukakan cadangan di Laman Website khusus untuk cadangan Bajet 2013. Laman Web rasmi Perdana Menteri iaitu www.1Malaysia.com.my

Kalau hendak ikutkan perasaan dan hati, saya ingin saja mengemukakan lebih banyak cadangan. Malangnya, perkhidmatan internet di kawasan saya telah mengalami sedikit gangguan dan ini menyebabkan banyak cadangan saya tidak dapat diterima oleh sistem server laman web tersebut.

Berikut adalah antara cadangan saya untuk diambil perhatian oleh pihak kerajaan. Walaupun kebarangkalian untuk cadangan ini diterimapakai adalah rendah, tetapi sekurang-kurangnya, saya telah berusaha untuk menyatakan apa yang saya fikir memberi makna kepada rakyat marhaen seperti saya yang berpendapatan sederhana ini.


Antara cadangan saya adalah:



Sektor Pekerjaan & Perkhidmatan Awam.





Sektor Kos Sara Hidup




Sektor Perumahan Dan Kehidupan Di Bandar




Sektor Pengangkutan Dan Infrastruktur

Menaiktaraf jalanraya-jalanraya Persekutuan di Sabah Dan Sarawak khususnya jaringan jalanraya diantara bandar-bandar utama di kedua-dua buah negeri
(cadangan ini telah dikemukakan melalui laman web tersebut, malangnya tidak terpapar)


Ini merupakan usaha kecil kita dalam usaha untuk membantu kerajaan mensejahterakan kehidupan kita yang dihimpit oleh kenaikan kos sara hidup. Semoga cadangan-cadangan ini dapat diberi perhatian oleh pihak kerajaan dan sekiranya diterimapakai, diharap pihak kerajaan melaksanakannya dengan lebih teratur, telus dan akauntabiliti.

Sekian, terima kasih.

HASIDY HARUN





Selasa, 3 September 2013

Cuit Hati : Si Bohek Ambil Gambar.

Bismillah Hirrahman Nirrahim.

si Bohek buat hal lagi di dalam Bas ?

Ceritanya begini...


Pada suatu hari, Bohek berada di dalam bas untuk ke bandar. Dia memegang sekeping gambar. Akibat kelalaiannya memegang gambar itu, tiba-tiba gambar itu pun terjatuh di bawah kain seorang Makcik Tua.

Bohek : Makcik, bolehkah tolong angkat kain makcik, saya mahu ambik gambar tu.
(Sambil menunjuk ke arah bawah makcik tua tu..)

Makcik Tua : Apa kamu cakap ?!?!

Tiba-tiba.... Ketepak !!!!!! si Bohek pun turun dari bas itu dengan muka yang bengang dan pegal kerana ditampar oleh makcik tua itu di hadapan orang ramai. Rupa-rupanya terjemahan maksud si Bohek berbeza dengan makcik tua tu.

Apalah nasib si Bohek.


HASIDY HARUN

Cuit Hati : Si Bohek Yang Gelisah.



Ketika aku menaiki bas daripada Taman Ria Ke Bandar Tawau kelmarin (Sabtu), aku ternampak seorang ibu muda mengendong anaknya yang saya fikir baru balik dari Klinik Ibu Dan Anak Tanjung Batu. Aku teringat 1 cerita...



Suatu hari si Bohek menaiki bas dan duduk bersebelahan ibu muda seksi bersama anaknya. Ibu muda itu sedang ingin menyusu anaknya, tetapi anaknya enggan. Lalu ibu muda itu berkata, "Cepat minum, kalau adik tidak mahu minum, ibu bagi abang sebelah minum." Sudah hampir 10 minit, anaknya masih enggan menyusu. Lalu ibunya berkata, "kalau adik betul2 tidak mahu menyusu, ibu bagi abang sebelah ni minum ya..". Si Bohek bertambah gelisah lalu berkata, "akak, cepatlah buat keputusan, lagi 2 simpang di depan saya akan turun...."


HASIDY HARUN
Bismillahhirahman Nirrahim.

Sejauhmana perginya penyu, ia akan kembali dimana ia pernah pergi.

Apa khabar rakan-rakan pembaca blog saya ? Diharapkan rakan-rakan semua sihat wal'afiat bersama keluarga yang dikasihi. Disamping sentiasa bergembira dengan kehidupan ini. Saya telah lama tidak mengemaskini catatan diari maya ini. Sudah hampir 3 bulan lebih. Agaknya sibuk di alam nyata mengejar 3 perkara sehingga terkadang lupa banyak perkara. 3 perkara yang dikejar itu adalah, Harta, Pangkat dan Darjat. Jika tersalah kejar, ia membawa kebinasaan kepada diri sendiri.

Sejak ketiadaan di dunia maya ini, saya mengisi masa dengan aktiviti yang tidak kurang sikitnya. Kerja rutin harian sebagai kakitangan awam dan mewakili kerajaan di tapak bina agak menyibukkan walhal jika diurus, ditadbir dan di"adjust" dengan baik dan teratur, banyak lagi masa yang boleh diisi dengan pelbagai aktiviti.

Saya tidak berniat berceloteh panjang lebar bak ahli politik berucap ketika berkempen atau sang penyair mempersembahkan syair gurindamnya, sekadar berkongsi keinginan menulis sepatah dua kata. Akhir kata, saya persembahkan gambar-gambar aktiviti saya sepanjang 3 bulan kebelakangan ini sehingga Eidulfitri baru-baru ini.

Semoga ianya boleh mengubat rindu yang tersimpan di dalam hati. Ianya menjadi halwa mata untuk ingatan bersama.

Sekian, salam sayang untuk rakan-rakan.

Hasidy Harun

Khamis, 16 Mei 2013

Pasca Pilihanraya Umum Ke-13

Bismillah Hirrahman Nirrahim.
Pilihanraya Umum Ke-13 sudahpun melabuhkan tirainya kira-kira 11 hari yang lalu. Umum telah mengetahui keputusan PRU-13 kali ini masih berpihak kepada Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi 3 Parti Utama di Malaysia (UMNO, MCA dan MIC) dan 10 Parti lain dari negeri-negeri Sabah dan Sarawak.

Berikut merupakan statistik Keputusan PRU-13 Bagi Kerusi-kerusi yang dipertandingkan khususnya Kerusi Parlimen, Malaysia.



Sumber : Laman Web Rasmi SPR Malaysia di www.PRU-13.gov.my


Berikut merupakan statistik Keputusan PRU-13 Bagi Kerusi-kerusi yang dipertandingkan khususnya Kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri, Malaysia.



Sumber : Laman Web Rasmi SPR Malaysia di www.PRU-13.gov.my


Keputusan ini hanya sah untuk dipergunakan setelah diwartakan oleh kerajaan Malaysia. Apapun yang berlaku selepas PRU-13 ini, rakyat Malaysia mahukan sebuah negara aman, selamat dan makmur. Ketidakpuasan hati dalam sesuatu pertandingan itu biasa dan normal di dunia ini. Demonstrasi atau perhimpunan untuk menyatakan ketidakpuasan hati itu adalah dibenarkan berdasarkan kepada Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012) dan ianya perlu dilakukan dengan berhemah, bertamadun dan aman.

Bagi diri saya secara amnya, melihat keputusan PRU13 kali ini sangat subjektif. Kerana berdasarkan kajian analogi dan perkiraan, beberapa perkara harus dilihat dan diperhalusi oleh kerajaan.

Saya mengharapkan pentadbiran dan pengurusan negara yang baru ini boleh membawa negara ke satu tahap kemajuan dan pembangunan yang lebih baik seiring dengan matlamat kerajaan untuk menjadikan negara Malaysia sebagai sebuah negara maju pada tahun 2020.

Akhirkata untuk entri kali ini, muhasabah diri, kembalilah ke pangkuan agama, tidak kiralah parti politik yang menang atau parti politik kalah. Lupakan dulu soal politik yang membimbangkan dan fokuslah kepada kemajuan, keamanan dan kemakmuran negara.

Wa alaikum salam.

Wassalam.

HASIDY HARUN



Khamis, 11 April 2013

10 Fakta Umum Bagi Pilihanraya Umum Ke-13.

Bismillah Hirrahman Nirrahim.


Setelah membuat sedikit kajian, pembacaan dan penyelidikan, saya ingin berkongsi secebis ilmu dan fakta mengenai PRU-13 kali ini. Semoga mendapat manfaat daripadanya.



Faktanya :
  1. Tempoh berkempen paling pendek adalah pada PRU-11 (2004) iaitu hanya 8 hari sahaja.  Tempoh berkempen PRU-13 (2013) adalah 15 hari. Ia merupakan tempoh kempen ke-4 paling lama, selepas PRU (1959,1964, 1969,1974 selama 35 hari), PRU (1974 selama 16 hari), PRU (1978 selama 16).

  2. PRU-13 kali ini, Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) telah membuat keputusan untuk membatalkan "masa bantahan" selama sejam, seperti PRU-PRU sebelum ini. Ini bermaksud, calon lawan tidak boleh menimbulkan soal-soal teknikal berkaitan calon dan sebagainya kerana tidak ada "masa bantahan".

  3. PRU-13 kali ini, SPR memperuntukkan 100,000 pen, 50,000 peti undi lutsinar @ transparent dan 8,000 pusat mengundi.

  4. PRU-13 diadakan pada Mei 2013. PRU kali ini adalah PRU kali ke-2 diadakan pada bulan Mei, selepas PRU-3 (1969).

  5. Sehingga Daftar Pemilih Suku Tahun Ke-4 (Disember 2012) diwartakan dan maklumat yang diperolehi daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), terdapat 2.3 juta rakyat Malaysia berbangsa MELAYU/BUMIPUTERA yang layak mengundi belum mendaftar sebagai pengundi.

  6. Bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara kecuali Negeri Sarawak yang terbabit dalam PRU kali ini adalah 505 buah kerusi, manakala bilangan kerusi parlimen adalah sebanyak 222 buah kerusi termasuk di Negeri Sarawak.

  7. Untuk memperoleh 2/3 kerusi menang majoriti, 148 kerusi diperlukan.  Hanya dalam PRU-3 (1969) dan PRU-12 (2008), Barisan Nasional dinafikan majoriti 2/3.

  8. 1982, 1986, 1990, 1995, dan 1999 merupakan tahun PRU yang mana Barisan Nasional dikemudikan oleh Y.Bhg Tun Dr Mahathir Mohammad. Kesemuanya  Barisan Nasional menang besar dengan majoriti lebih 2/3 kerusi parlimen.

  9. Kerusi Parlimen di Sarawak adalah 31 buah dan Dun adalah 71 buah kerusi (tidak dipertandingkan PRU-13 sebab telah adakan PRN 2011) merupakan kerusi Parlimen dan Dun terbanyak di Malaysia.  Manakala di Sabah, 25 kerusi Parlimen dan 60 kerusi DUN. Di Johor, 26 kerusi Parlimen dan 56 kerusi DUN. Beza kerusi parlimen Sabah dan Johor adalah 1 (Johor) dan beza kerusi DUN pula adalah 4 (Sabah).

  10. Sejak PRU-7 (1986), tempoh kempen tidak pernah mencecah 15 hari, sehinggalah PRU-13 (2013) PRU kali ini.
Sumber Info: Laman Web Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR), Laman Web Jabatan Pendaftaran Malaysia (JPN), Utusan Online, Bharian Online, Sinar Harian Online, Malaysiakini.com, KLpos.com.


Wassalam, terima kasih, selamat berkongsi.


Hasidy Harun
Tawau, Sabah, Malaysia.

Rabu, 10 April 2013

Penamaan Calon Dan Hari Mengundi PRU13.

Bismillah Hirrahman Nirrahim.





Sebentar tadi, Suruhanjaya Pilihanraya Raya Malaysia (SPR) telah menetapkan bahawa tarikh Penamaan Calon bagi PRU-13 adalah pada 20 April 2013 (Sabtu) dan tarikh Pengundian bagi PRU-13 adalah pada 05 Mei 2013 (Ahad). 




Pengumuman dibuat oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR), Y.Bhg Tan Sri Abdul Aziz Bin Mohd Yusof di Ibupejabat SPR di Putrajaya.

Pakatan Rakyat (PR) telah mengumumkan sebahagian calon mereka, manakala Barisan Nasional (BN), masih belum mengumumkan calon-calonnya.



Wassalam, terima kasih, selamat berkongsi.


Hasidy Harun

Pilihanraya : Pengalamanku.

Bismillah Hirrahman Nirrahim.


Negara Malaysia yang kita cintai hari ini sibuk dengan teka-teki serta persoalan mengenai tarikh penamaan calon dan tarikh pengundian. Dikhabarkan hari ini, 10 April 2013 adalah hari penentuan dan keputusannya. Penentuan dan keputusan kedua-dua tarikh ini ditentuka n oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR). Penentuan dan keputusan ini dibuat setelah mesyuarat khas ahli-ahli SPR.

Pilihanraya kali ini mengingatkan saya dengan pengalaman yang pernah saya alami. Ia berlaku ketika Pilihanraya Kecil (PRK) P.185 Batu Sapi. Seingat saya, PRK P.185 Batu Sapi ini diadakan pada bulan November tahun 2010. Pada waktu itu, saya bertugas di sebuah Institut Perguruan, di Tawau.

Ketika nama calon Barisan Nasional diumumkan, kawan saya dikenali sebagai "A" memberitahu bahawa kawan dia (selepas itu memperkenalkan kepada saya sebagai "Puan Z") di Sandakan memerlukan sedikit wang untuk berkempen bagi membantu memenangkan calon Barisan Nasional (BN). Kawan saya si A meminta saya dan dia bersama-sama menyalurkan sedikit wang kepada Puan Z di Sandakan itu. Dengan ertikata, pinjam wang daripada kami, saya dan A. Tujuannya, untuk bantu kempen PRK dan modal menubuhkan sebuah empayar perniagaan alat tulis. Saya ambil masa 3 hari untuk memikirkan perkara ini kerana ia membabitkan wang yang banyak. Kata si A dan si Puan Z, wang tersebut akan dikembalikan setelah pengumuman calon atau ketidak-tidaknya 2 minggu setelah pengumuman calon yang menang.

Kempen dan empayar perniagaan alat tulis merupakan keutamaan kami bersama ketika itu. Persen dan keuntungan atau hasil dibahagi mengikut persetujuan secara lisan. Dikatakan modal dan wang kempen itu dikembalikan dan dividen atau persen dibayar secara bulanan. Selepas mendapat jaminan lisan dan keyakinan yang diberikan itu, saya pindahkan wang tersebut ke akaun si Puan Z. Hampir RM10,000 saya laburkan untuk tujuan itu dan bersekali modal penubuhan empayar perniagaan dengan mereka, A dan Puan Z. 



Gambar hiasan : Duit boleh menjadi punca dalam segala hal, samada baik dan buruk


Kepercayaan saya kepada kawan yang boleh saya kategorikan sebagai kawan rapat ini boleh dikatakan tinggi. Hendak dimulakan cerita, setelah 7 hari pengumuman calon yang menang kerusi P.185 Batu Sapi, Sandakan, saya bertanya kepada kawan saya si A tentang wang tersebut yang dijanjikan untuk dikembalikan. Dia jawab tunggu dalam beberapa minggu. Akur dan terima jawapan itu, saya tidak bertanyakan lagi kerana saya juga merasakan tidak memerlukan wang ini buat sementara waktu.

Hari silih berganti, bulan silih berlalu, hampir 2 bulan tidak mendengar berita Puan Z, kawan kami di Sandakan. Rasa ingin tahu kedudukan wang tersebut bagaimana, lalu saya menghubungi Puan Z. No telefon Puan Z ini saya hubungi, malangnya tidak dapat disambungkan kerana tidak aktif. Saya kembali bertanya kepada si A, kawan saya. Katanya  Puan Z sedang berusaha untuk mendapatkan tuntutan wang tersebut dan sedang mengatur langkah untuk penubuhan perniagaan itu.

3 bulan berlalu, saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena, sedikit berita tidak terima mengenai Puan Z dan wang saya. Berkali-kali saya menghantar "Short Message System" ke no telefon beliau, akhirnya beliau menghubungi saya. Puan Z berkata beliau akan membayar wang saya secara beransur-ansur menggunakan wang peribadinya terlebih dahulu. Saya kata, "Okey, saya okey saja, saya perlukan duit ini untuk ke KK bagi melapor diri bertugas di KK. So, saya perlukan duit itu segera". Puan Z bersetuju.

1 bulan berlalu, tiada khabar berita, senyap umpama Bisu Tak Termulut, Diam Tak Bercakap. Saya menghubungi Puan Z bertanyakan hal itu. Alangkah terkejutnya saya apabila Puan Z berkata bahawa, sebahagian wang itu telah dibayar melalui pemindahan wang ke Akaun kawan saya A. Lalu, saya menghubungi "A". Dia berkata, "ya, Sidy. Aku guna duit tu terlebih dahulu, kemudian saya bayar". Kecewa, marah dan geram bercampur umpama Gado-gadoh Banjir Kuahnya.


Hampir 1 bulan setelah itu, saya menghantar SMS berbaur ugutan dan ancaman kepada "A" supaya membayar kembali sebahagian wang itu. Ugutan dan ancaman yang saya berikan itu berbentuk ancaman untuk mengambil tindakan untuk membuat laporan polis. Dia akur dan segera mengembalikan wang, itupun beransur-ansur.



Gambar hiasan : Duit boleh membunuh persahabatan, keluarga dan diri sendiri.

1 tahun saya bertindak menjadi pengemis atau peminta sedekah wang sendiri daripada kedua-dua kawan saya ini. Peristiwa ini berlaku 3 tahun lalu. Bagi saya, ia memberi banyak pengajaran tentang hubungan persahabatan, wang, janji, masa, sifat seseorang dan sebagainya.

Hari ini, dikhabarkan kawan saya si "A" mendapat penyakit, manakala kawan saya si Puan Z, tidak ada khabar berita. Semoga kisah yang saya kongsi ini memberi pengajaran buat kita bersama. Pilihanraya kali ini mengingatkan saya kisah yang pernah saya alami.

Pengajaran :

- Jangan terlalu percaya sepenuhnya kawan kita.
- Wang boleh mengeruhkan hubungan kita.
- Aktiviti membabitkan wang, perlu ada "hitam-putih".
- Allah S.W.T boleh turunkan balasan di dunia, dengan izinnya.


Wassalam, terima kasih, selamat berkongsi.


Hasidy Harun




Jumaat, 5 April 2013

Info Terkini Tentang Pilihanraya Umum Malaysia ke-13 Bagi Negeri Sabah.

Jumlah Pengundi Biasa dan Pengundi Tidak Hadir (Pengundi Pos dsb) serta bilangan petugas SPR yang bertugas semasa PRU13 di Sabah.





Berikut adalah persempadanan kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah.




Sumber : Laman Web Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR)


Wassalam, terima kasih, selamat berkongsi.


Hasidy Harun









Khamis, 4 April 2013

"Whitening Operation" @ Proses Pemutihan.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Sebentar tadi, saya telah menulis di dinding Muka Buku saya dengan tajuk "Whitening Operation" atau Operasi Pemutihan. Operasi ini adalah inisatif saya sendiri bertujuan untuk mengeluarkan nama-nama rakan Muka Buku yang mana akaunnya tidak jelas, tidak aktif, akaun yang saya tidak kenal empunya diri atau akaun yang tidak pernah memberi reaksi kepada apa yang kita paparkan.



Gambar hiasan : Penulis umpamanya proses pemutihan ini umpama mengesan, mententusahkan dan mengeluarkan nama-nama rakan Muka Buku ini umpama proses Pendatang Tanpa Izin (PATI).


Kata seorang ahli falsafah eropah yang maksudnya umpama begini, "Sesuatu yang baik itu dinilai melalui kualitinya dan bukan kuantitinya". Jadi, apa yang cuba saya ingin sampaikan disini adalah tiada guna mempunyai rakan taulan yang begitu ramai tetapi tidak memberi respon atau tindakbalas yang baik kepada kita. Samada ianya diterima oleh rakan pembaca, itu terpulang kerana kita hidup di dunia ini bukannya hidup bersendiri.

Walaupun setiap manusia ini mempunyai hak untuk melakukan sesuatu yang difikirkan betul tetapi biarlah perbuatan itu tidak memberi kesan negatif kepada mereka yang berada disekeliling kita.

Saya menyusun jari dan memohon maaf sekiranya, apa yang dilakukan saya ini memberi tanggapan negatif dan prasangka buruk terhadap saya. Yang baik itu datangnya daripada ALLAH S.W.T dan yang kurang baik itu datangnya daripada kekurangan ilmu saya.



Wassalam, terima kasih, selamat berkongsi.


Hasidy Harun
Tawau, Sabah, Malaysia.

Pembubaran Parlimen Malaysia Penggal Ke-12.





Semalam, satu lagi peristiwa penting bagi negara Malaysia apabila Perdana Malaysia, Y.A.B Datuk Seri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak mengumumkan pembubaran parlimen Malaysia bagi penggal ke-12 berkuatkuasa semalam yakni 03 April 2013 bersamaan 22 Jamadil Awal 1434h. Pengumuman ini dibuat setelah mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Malaysia, Tuanku Sultan Abdul Halim Mu'adzam Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Untuk makluman, tarikh pembubaran parlimen ini dipilih oleh Najib Razak sempena genap 4 tahun beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 iaitu pada 03 April 2009, bagi mengantikan Bekas Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi.

Untuk rekod, tarikh matang parlimen Malaysia penggal ke-12 ini adalah pada 28 April 2013. Pembubaran ini membolehkan satu pilihanraya umum diadakan bagi memilih kepimpinan dan peneraju kerajaan dan ia termaktub dibawah perlembagaan Malaysia. Pilihanraya umum perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran.

Pilihanraya umum kali ini menjadi tumpuan rakyat Malaysia kerana dikatakan sebagai ibu segala pilihanraya Malaysia. Ini adalah kesan daripada kebebasan maklumat, kepekaan rakyat Malaysia terhadap hak dan kebebasan bersuara, kepelbagaian dan kewujudan serta penciptaan perspetif dan spekulasi yang dipaparkan di media-media sosial samaada pihak pemerintah dan pihak pembangkang. Rakyat Malaysia dihujani dengan pelbagai informasi, maklumat dan berita samada benar dan tidak benar. Inilah masa yang paling sesuai bagi rakyat untuk membuat keputusan demi masa depan negara Malaysia.

Untuk rekod, kali pertama pilihanraya bagi negara Malaysia adalah pada 1964, sebelum itu Persekutuan Tanah Melayu telah mengadakan pilihanraya umum pada tahun 1955 dan tahun 1959. 



Wassalam, terima kasih, selamat berkongsi.


Hasidy Harun
Tawau, Sabah, Malaysia.

Selasa, 2 April 2013

Ku Kembali, dengan BISMILLAH HIRRAHMAN NIRRAHIM..

Bismillah Hirrahman Nirrahim...

Assalamualaikum, salam pertemuan rakan-rakan pembaca Blog Hasidyharun.blogspot.com.


Apa khabar ? adakah anda semua sihat wal'afiat ? Saya mendoakan kalian semua sihat-sihat saja dan sentiasa diberkati serta dirahmati ALLAH S.W.T dan terus diberi peluang untuk mengecapi kebahagian dan kejayaan di dunia dan insyaALLAH di akhirat.

Tentu ramai rakan pembaca blog tertanya-tanya atau tercari-cari ke mana saya dan apa sebab saya tidak mengemaskini blog ini setelah hampir 4 bulan lamanya.  Banyak punca yang menyebabkan saya tidak berkesempatan untuk berkongsi cerita hidup saya. Kesibukan dengan tugas sebagai seorang kakitangan awam dan keluarga juga boleh dijadikan alasan musabbab tidak mengemaskini blog peribadi yang mana saya sebagai penulis utama.

Kerinduan saya kepada dunia penulisan maya ini tidaklah sama rindunya seorang kekasih kepada kekasihnya, juga tidak boleh diandaikan dengan rindunya purnama dan bintang di malam hari. Tetapi, ibaratkan Ombak Memukul Pantai yang mana bolehlah dimaksudkan keinginan untuk berkongsi. Ermmmm...tentu rakan pembaca tidak memahami maksud Ombak Memukul Pantai itu dengan maksud yang saya nyatakan tadi, tidak apalah !! Lupakan saja. He he he...




In Shya Allah, bermula daripada saat ini, saya akan berkongsi cerita dan pengalamanan saya. Oh ya ?! saya hampir terlupa, saya berhutang cerita bukan ?, dosa jika tidak membayar hutang yang telah dijanjikan. Hutan yang dimaksudkan itu adalah kesinambungan pernceritaan pengalaman perjalanan saya di Negara Brunei Darussalam Bah IV. In Shya Allah, saya telah mendraf penceritaan itu dan sedang diedit untuk membolehkan maksudnya difahami dan tercapai. 

Untuk permulaan ini, saya mengucapkan Selamat Pergi Jauh Dan Perginya Sebuah Kenangan di Tahun 2012 dan Selamat Datang Keindahan Sinar Suria Mentari Pagi 2013.

Seutas Rantai Terputus Talinya, 
Disambung Dengan Besi Waja,
Seutas Cinta Terputus Jalinanya, 
Diharap Ia Bukan Akhirnya.

Bunga Mawar Batangnya Berduri,
Kuhadiahkan Buat Yang Tercinta,
Bukan Ku Janji Cinta Abadi,
Ku Menerimamu Seadanya.


Wassalam, terima kasih, selamat berkongsi.


Hasidy Harun
Tawau, Sabah, Malaysia.

JOM KLIK SAYA DISINI ! ! !