counter

Klik Disini Untuk Mengetahui Lebih Lanjut.

Khamis, 26 September 2013

Pemilihan UMNO 2013

Bismillah Hirrahman Nirrahim



Beberapa minggu kebelakangan ini, media arus perdana, alternatif, elektronik, cetak mahupun laman sosial dipenuhi dengan cerita dan berita tentang pemilihan UMNO.  Pemilihan kali ini menjadi tumpuan kerana dikatakan ada perubahan daripada sudut mekanisma dan kaedah memilih kepimpinan di peringkat bahagian dan pusat di seluruh negara.

Pemilihan kali ini dikatakan terbuka dan lebih demokratik.  Pemilihan UMNO kali ini menampakkan keterbukaan ahli untuk menyahut seruan transformasi politik semasa yang dibawa oleh pucuk pimpinan memandangkan suasana dan keadaan politik hari ini berbeza berbanding 5-10 tahun lalu. 

UMNO bukanlah parti pilihan utama rakyat di Malaysia tetapi ia merupakan parti keramat dan parti terbesar kaum Melayu dan Bumiputera.  Seperti yang kita sedia maklum, dasar perjuangan UMNO adalah memartabatkan dan memperjuangkan nasib kaum Melayu Bumiputera dan Islam di Malaysia yang dikatakan sedikit ketinggalan daripada sudut ekonomi, pendidikan, pemilikan ekuiti dan pelbagai lagi.  Pemilihan kepimpinan di peringkat bahagian dan pusat yang berlaku setiap 3-4 tahun sekali ini perlu dilakukan sejajar dengan peruntukan perlembagaan UMNO dan peruntukan Akta Pertubuhan 1966.

Berbalik kepada cerita pemilihan UMNO.  Tahun 2009, kaedah pemilihan secara kuota sokongan digunapakai untuk memilih pucuk kepimpinan di peringkat bahagian dan pusat.  Sesiapa yang ingin bertanding di peringkat bahagian dan pusat, perlu mendapat kuota sokongan dan mandat tertentu daripada cawangan-cawangan di sesuatu bahagian  (kepimpinan di peringkat Bahagian) dan bahagian-bahagian (kepimpinan di peringkat Pusat).  Tetapi hari ini, syarat menyertai pemilihan adalah terbuka sambil mengekalkan syarat asas iaitu ahli UMNO selama 3 tahun untuk semua jawatan di dalam UMNO itu.  Syarat ini juga terpakai untuk pemilihan di peringkat sayap UMNO iaitu sayap Wanita, sayap Pemuda dan sayap Puteri.

Saya tidaklah arif tentang politik kepartian dan seumpamanya.  Malah, saya lebih cenderung untuk melihat, menilai dan mencerna perkembangan politik tanahair secara keseluruhan.  Minat untuk menyertai, menempatkan dan menceburkan diri di dalam arena politik tempatan/bahagian memang ada tetapi ALLAH belum mengizinkannya dan tidak semestinya menyertai UMNO.

Media sering menghebahkan tujuan utama mekanisme baru pemilihan kali ini dilaksanakan adalah untuk memberi peluang kepada ahli akar umbi memilih pemimpin parti secara terus.  Berbeza dengan pemilihan sebelum ini dimana, pemilihan dikatakan tidak demokratik dan tidak secara menyeluruh.  Politik wang atau rasuah politik kedengaran semasa pemilihan lalu dan kali ini dikatakan cara serta kaedah pemilihan kali ini boleh menutup ruang berlakunya Politik Wang atau Rasuah Politik yang mana boleh menyebabkan parti dan negara lingkup dan musnah.

Saya tidak mahu berceloteh terlalu panjang mengenai pemilihan UMNO kali ini.  Tetapi secara keseluruhan, saya melihat pemilihan kali ini adalah sihat dan sengit untuk pertandingan beberapa jawatan utama di peringkat pusat dan di peringkat bahagian.  Saya berharap pemilihan ini berlangsung dalam keadaan dan suasana kekeluargaan dan diharapkan tidak berlakunya apa-apa perkara yang tidak dingini seperti yang pernah berlaku sebelum ini, ekoran taksub dengan seseorang pemimpin dan kumpulan-kumplan pemimpin tertentu.

Saya sebagai rakyat marhaen telah, sedang dan akan sentiasa melihat perkembangan politik samada dalam parti itu atau mana-mana parti serta perkembangan politik tempatan/bahagian dan negara amnya.  Oh ya, saya hampir terlupa, tarikh pendaftaran pemilihan di semua jawatan di peringkat bahagian dan pusat adalah pada 21 September 2013.  Manakala, tarikh pemilihan UMNO kali ini dibuat pada 12 Oktober 2013 untuk sayap Wanita, Pemuda dan Puteri di semua peringkat di semua bahagian secara serentak.  Manakala, tarikh pemilihan kepimpinan di peringkat bahagian dan pusat diadakan pada 19 Oktober 2013 di semua bahagian UMNO di seluruh negara juga secara serentak.

Kepada rakan-taulan, sahabat-handai, keluarga dan kenalan yang telah mendaftarkan diri bertanding di mana-mana jawatan di peringkat bahagian dan pusat, saya mengucapkan selamat berjaya dan kembalikanlah niat untuk memperjuangkan nasib bangsamu. Semoga beroleh keberkatan dan kejayaan dalam perjuangan.

Sekian, terima kasih.


HASIDY HARUN

Tiada ulasan:

JOM KLIK SAYA DISINI ! ! !