counter

Klik Disini Untuk Mengetahui Lebih Lanjut.

Selasa, 29 Julai 2014

Ucapan Ringkas Sempena Aidilfitri 1435 Hijrah.

Bismillahirrahman Nirrahim...

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar Walillah Ilham.

Bersyukur kita dengan limpah dan kurniaNYA kita dapat bersama-sama melaksanakan Ibadah Puasa dan menyempurnakann Zakat Fitrah untuk tahun 1435 Hijrah Masehi.  Kita bersyukur kerana hidup dalam sebuah negara aman dan makmur disamping kemajuan dan pembangunan dikecapi serta hidup dalam rukun damai dan perpaduan yang utuh bersama suku kaum, etnik dan agama yang berlainan. Ia menjadi tonggak dan faktor terpenting bagi sebuah negara untuk mencapai kejayaan.

Dalam kita bergembira, kita juga perlu insaf dan tawadduk diatas ujian-ujian yang diberikan oleh Allah terhadap negara kita, Malaysia. Trajedi MH370 & MH17 membuka mata umat islam tentang kekuasaan Allah serta sayangnya DIA kepada umatnya. Justeru, kita harus ambil iktibar daripada perkara-perkara tersebut dan kembali ke jalan yang benar dalam menongkah arus kehidupan ini.

Tidak cukup dengan beberapa ujian yang membabitkan negara, kita juga dibuai dan dipertontonkan serangan Zionis Yahudi terhadap Hamas Palestin beberapa minggu lalu. Hampir 1000 nyawa rakyat Palestin terkorban dan beratus-ratus lagi cedera akibat kekejaman Zionis Yahudi terhadap rakyat Palestin.  Kita rakyat Malaysia dengan jelas mengutuk dan sangat tidak bersetuju dengan serangan ini kononnya atas sebab keselamatan dan mempertahankan negara Israel.  Kita rakyat Malaysia dan dunia sentiasa berdoa agar serangan Israel terhadap Palestin alan berakhir segera. Oleh yang demikian, saya memohon kepada pembaca semua agar kita sedekahkan surah Al-Fatihah kepada mujahidin-mujahidin Palestin yang terkorban kerana mempertahankan tanah air oleh serangan Israel. AL-FATIHAH.

Akhir sekali, saya menyusun jari. Memohon ampun dan maaf sekiranya dalam penulisan dan karya saya ada menyinggung hati dan perasaan pembaca dan berlaku kekhilafan saya yang tidak disengaja atau disengajakan terhadap pembaca. Hari yang mulia ini diharap kita meraikannya dengan iman dan taqwa bersederhana dalam bergembira InsyaALLAH mendapat berkat dari Allah S.W.T.

Amin Ya Rabb...
Wassalam...


Sabtu, 15 Februari 2014

Taman Bukit Gemok, Tawau, Sabah.

Bismillah Hirrahman Nirrahim.


Entri kali ini saya ingin berkongsi sedikit coretan mengenai pengalaman mendaki sebuah bukit ditempat kelahiran saya di Tawau iaitu Bukit Gemok. Sudah lama saya ingin mendaki bukit ini, tetapi malangnya tidak berkesempatan. Kali ini saya berpeluang untuk mendakinya bersama 2 rakan saya. Sebenarnya, kami bertiga tidak merancang dengan teliti untuk mendaki bukit ini, akan tetapi, secara kebetulan kami tidak mempunyai sebarang aktiviti pada hari pendakian tersebut (04 Januari 2014). Jadi, untuk mengisi masa itu, diantara kami mengemukakan cadangan untuk mendaki bukit tersebut dan dipersetujui. Tepat jam 3 petang, kami mendaki bukit tersebut.



Papan tanda pintu masuk Bukit Gemok, Tawau atau dikenali sebagai
Pusat Sejadi Bukit Gemok, Tawau, Sabah.


Sebagai pengenalan ringkas mengenai bukit ini, bukit ini terletak dikawasan rizab hutan yang telah digazetkan oleh Kerajaan Negeri Sabah sebagai Pemeliharaan Hutan Simpan Kelas I pada tahun 1949.  Ia merupakan hutan hujan khatulistiwa semulajadi yang terletak di kawasan diantara Kg Pasir Putih dan Kg Sungai Imam di Tawau. Jarak antara Bukit Gemok dengan Bandar Tawau adalah lebih kurang 12 km atau lebih kurang 15 minit perjalanan. Untuk ke Bukit Gemok ini, pengunjung tempatan dan pelancong boleh melalui Jalan Utara Baru atau Jalan Kuhara yang akan bertemu di Jalan Merotai-Kalabakan berdekatan penempatan yang dikenali sebagai Jambatan Putih. Puncak bukit ini berada pada ketinggian lebih kurang 400 meter dari aras laut.



Pintu pagar "Steel" Bukit Gemok, menyambut kedatangan kami yang tidak diundang, yang tidak dirancang.



Papan tanda makluman kadar bayaran yang dikenakan lepada pengunjung dan papan tanda tunjuk arah serta lokasi rekreasi di Bukit Gemok.


Bagi pelancong luar negara dan tempatan (luar daerah) khususnya mereka yang melancong ke Tawau melalui agen pelancongan, pakej melawat ke Taman Bukit Gemok, Tawau juga disediakan.  Apa yang menarik dan menjadi perhatian di Bukit Gemuk ini adalah Canopy Bridge yang dibina di puncak bukit ini.  Dikatakan Canopy Bridge atau sebutan Bahasa Melaysia, Jambatan Gantung yang dibina diantara pokok ke pokok ini merupakan Canopy Bridge ke-dua terpanjang di Negeri Sabah selepas Canopy Bridge di Taman Kolam Air Panas Poring di Daerah Ranau, Sabah. Canopy Bridge di puncak Bukit Gemuk ini diberi nama Titian Silara. Asal-usul dan cerita disebalik nama Titian Silara hanya staf Jabatan Perhutanan terbabit dan para sejarawan daerah Tawau saja yang mungkin tahu atau mungkin juga gelaran itu diambil daripada sejenis spesis pokok yang ditemui dikawasan puncak di Bukit Gemuk itu. Itu sekadar tekaan daripada saya. 



Bagi memastikan perjalanan dan laluan kami ke Puncak dan Titian Silara di Bukit Gemok, saya memerhati papan tanda laluan sebagai rujukan sebelum mendaki.




Saya dan rakan saya, Sdra Zul gembira mendaki Bukit Gemok.



Perjalanan menuju ke puncak Bukit Gemok dan ke Canopy Bridge Titian Silara ini mengambil masa lebih kurang 45 minit dan melalui 7 pondok perhentian rehat.  Jarak diantara pondok rehat ini lebih kurang 100 meter. Setiap pondok dinamakan Spesis Pokok Hutan Khatulistiwa. Kelihatan Pondok Perhentian No.6 ini dinamakan sebagai Selangan Batu






Setiap pondok perhentian juga dipaparkan petunjuk dan bilangan pondok perhentian yang telah dan akan dilalui seperti gambar sebelah atas.  Kelihatan 2 jejaka "hot" atau jejaka kepenatan berehat di pondok perhentian No.6 (Selangan Batu), yakni pondok terakhir sebelum berhenti rehat di pondok perhentian No.7 di puncak Bukit Gemok yang berdekatan Titian Silara.




Walaupun perut kami nampak terkehadapan, tetapi semangat kami juga ikut kehadapan. Walaupun penat dan lengguh kaki tanpa sebarang latihan khusus tetapi berjaya juga meredah hutan separa belantara ini hingga ke puncak.




Saya, Sdra Ariffin dan Sdra Zul merakam kenangan di papan tanda Titian Silara. 
Memulakan langkah masuk ke CANOPY BRIDGE TITIAN SILARA - 231 meter panjang dengan tinggi aras tanah lebih kurang 20-40 meter.



Saya berada di Titian Silara. Difahamkan tinggi Canopy Bridge Titian Silara ini adalah diantara 20-40 meter. Lutut saya rasa lenguh dan tapak kaki saya seolah-olah tidak menyentuh lantai jambatan ini kerana rasa gerun dan gayat.




Gayat tak gayat, muka nampak macho garang tapi kaki mengeletar. 
Tangan mengenggam erat pada pautan.




Sepintas lalu.



Pemandangan dari Titian Silara. Kelihatan jelas perbandaran Tawau, Majlis Al-Kauthar, Kompleks Beli-Belah Eastern Plaza dan Kompleks Sukan Tawau.



Kelihatan Bukit Tanjung Batu, perkampungan Tanjung Batu Keramat, Tanjung Batu Laut ditepi laut. Manakala diseberang laut, kelihatan Pulau Sebatik dengan jelas.



Saya merakam kenangan di Canopy Bridge Titian Silara, Bukit Gemok.
Walaupun keletihan tetapi gembira dan berpuas hati.
Thumbs Up !!!


Bukit Gemok ini juga merupakan pusat sejadi atau pusat rekreasi keluarga.  Terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan oleh pihak pengurusan pusat rekreasi Bukit Gemok ini yang mana kita ketahui bahawa Jabatan Hutan Negeri Sabah bertanggungjawab keatas bukit ini.

Mungkin masyarakat Tawau khususnya belum pernah mendaki atau berrekreasi di Pusat Sejadi Bukit Gemok ini, suka saya syorkan bagi mereka yang ingin merasa pengalaman berada di dalam hutan, bolehlah mencubanya di Bukit Gemok.  Bukan sahaja pengalaman menahan kepenatan dan keletihan tetapi boleh melihat sendiri pokok-pokok besar bersaiz lilitan 3-4 orang berpegangan atau mungkin lebih dengan ketinggian melebihi 50 meter.  Selain itu, terdapat juga serangga-serangga yang jarang kelihatan boleh ditemui sepanjang perjalanan pendakian bergantung kepada keadaan.  Keadaan curam lebih 30 darjah di sepanjang perjalanan pendakian hingga ke puncak memberi cabaran yang optimum.

Diharapkan perkongsian pengalaman ini boleh memberi sedikit sebanyak menambah pengetahuan pembaca mengenai tempat-tempat menarik yang boleh dilawati di daerah Tawau.


HASIDY HARUN


Selasa, 11 Februari 2014

Cuit Hati : 1 Kaki 3 inci


Ini kisah suami Isteri pada malam pertama. Si isteri tidak mengetahui si suami terbabit dalam kemalangan & kehilangan sebelah kaki, sebelum akad nikah.  

Selepas sahaja habis majlis sanding malam itu, kedua-dua mempelai pun beradu dan memulakan malam pertama dengan tidak sabarnya.   Tak sampaipun 10 minit, si isteri keluar bilik dan memanggil ibunya, "Mak, 1 kaki !!!!!",  ibunya yang mendengar jeritan anaknya itu lalu menjawab, "Baguslah nak, mamak dulu 3 inci saja".




(u/p: Sampai sekarang aku senyum sendiri...... teringat kisah ini)

# Sekadar gurauan, tiada kena mengena samada yang hidup dan yang mati.

Motif cerita :- Gunakan perkataan dan sususan ayat Bahasa Melayu yang sesuai.  Takut nanti, bila timbul fahaman yang berbeza dan mengelirukan.


Tahun Baru Temukan Kami.

Bismillah Hirrahman Nirrahim.

Seminggu yang lalu, asyik kami berborak diruangan media sosial "whatsapp" dalam kumpulan kami, kami menerima jemputan rumah terbuka Chinese New Year daripada sahabat cina kami, Mr Victor Shang Tim Bon. Beliau merupakan tauke bengkel kenderaan, Syarikat Delco yang terletak di Batu 3, Jalan Apas, Tawau.

Jemputan beliau pada 08hb Februari 2014 iaitu semalam telah kami penuhi. Atas semangat perpaduan dan persahabatan yang telah terjalin sejak lebih 15 tahun dahulu.

Walaupn tidak ramai yang berkesempatan menghadiri majlis ini. Setidak-tidaknya kami gembira bertemu rakan-rakan lama.

Berikut dikongsikan bersama suasana pada malam semalam untuk tatapan semua.



Saya, Masniah dan Fariza khusyuk mendengar celoteh seorang rakan kami.



Saya, Masniah dan Fariza mengabadikan kenangan bersama.



Berdiri Dari Kiri:- Ng Kok Wei, Chong Shu Lam, Misran Milaham, Victor Shang Tim Bon.
Duduk Dari Kiri:- Richard Martin, Hasidy Harun (saya), Masniah dan Fariza.



Gambar kenangan kami bersama.



Dulu muda banyak, sekarang mudanya sikit



Fariza dan Misran dari hati ke hati... ;-)



HASIDY HARUN

Ahad, 2 Februari 2014

Gong Xi Fa Chai Di Tahun Kuda.

Bismillah hirrahman nirrahim.

Masih belum terlambat bagi saya secara peribadi untuk mengucapkan GONG XI FA CHAI kepada kaum Tiong Hua dan mereka yang telah menyambutnya pada 31 Januari 2014. Walaupun, mereka menyambutnya tetapi rakyat Malaysia tanpa mengira suku kaum, agama dan bangsa meraikannya bersama dengan hati terbuka dan gembira.

Berdasarkan kalender Tahun Cina, tahun ini merupakan tahun Kuda. Kuda merupakan tanda ke-tujuh daripada 12 shio menurut kepercayaan Cina.


Tahun Kuda bermula pada 31 Januari 2014 hingga 18 Februari 2015. Simbol bagi tahun Kuda ini bermaksud kebangsawanan, kecepatan, ketangkasan dan ketekunan, dimana berdasarkan kepercayaan dan kebudayaan cina, mereka yang lahir pada tahun Kuda ini mempunyai kebolehan dan kepakaran menarik perhatian dan mempengaruhi orang lain untuk mendapatkan sesuatu, atau ertikata lain, boleh mempengaruhi orang lain dengan kebijaksanaan berkata-kata. Mereka juga percaya bahawa tujuan hidup adalah "untuk mencari kebebasan individu dan kebahagiaan".

Diharapkan perayaan ini dapat menyatupadukan dan memperkukuhkan hubungan silaturahim yang telah lama dimetrai. Raikan dengan gembira dan kunjungilah rakan-rakan yang menyambutnya. Rugi rasanya kita tinggal dan duduk di Malaysia yang dihuni dengan pelbagai suku kaum tetapi tidak mengenali kebudayaan dan memperkukuhkan hubungan dengan mereka. Kestabilan politik dan kemajuan ekonomi negara Malaysia bergantung kepada kekuatan perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia.

Sekali lagi saya mengucapkan 
Happy Chinese New Year dan Gong Xi Fa Chai.


HASIDY HARUN


Sabtu, 1 Februari 2014

Selangkah ke hadapan, Menanti masa depan.

Bismillah hirrahman nirrahim.

Semalam genaplah usiaku menjangkau 31 tahun. Aku menerima lebih 40 ucapan dan doa sempena tarikh kelahiranku semalam daripada rakan kenalan yang dihantar melalui media sosial, Facebook. Tidak kurang juga yang mengucapkan "Selamat Hari Lahir" melalui mesej secara personal di Facebook, Whatsapp dan sistem pesanan ringkas (sms).

Walaupun tiada sambutan diadakan, mahupun hadiah istimewa diterima, tetapi saya bersyukur kerana masih ramai rakan dan kenalan yang mengingati dan ringan jari untuk memberi ucapan khas untuk kelahiranku. Ia merupakan satu daripada kesan media sosial, Facebook, yakni dapat berhubung melalui alam maya dan boleh mengetahui tarikh kelahiran rakan kenalan kita.

Disaat nyawaku masih berfungsi, nadiku masih berdenyut, nafasku masih menghembus, akalku masih waras, dan pancainderaku masih sempurna, aku ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada sahabatku, Sdra Mohd Nizar Hamild dan isteri beliau, Sdri Kasmah Sulo kerana sudi meluangkan masa untuk meraikan hari kelahiranku di sebuah restoran di bandar Tawau semalam. Walaupun ianya ringkas tetapi ia begitu bermakna bagi aku.

Sebenarnya, aku tidak kisah samada kedatangan tarikh kelahiran ini diraikan atau tidak. Pun begitu, sejak umur meningkat ini, semacam ada rasa ingin diri ini hargai dan diingati. Mungkin ianya normal. Terima seadanya.

Sekali lagi aku ucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua rakan, kenalan, sahabat handai dan keluarga yang menyokong perjalanan hidupku yang baru bermula ini. Secebis kasih, cinta dan sayang ku berikan kepada kalian semua. Semoga apa yang didoakan oleh kalian itu dimakbulkan oleh Allah S.W.T. InsyaALLAH, melangkah ke satu lagi tangga usia baharu tentunya ada matlamat dan objektif kehidupan yang perlu dipenuhi. Usaha, tekad dan iltizam berterusan tanpa putus asa akan diteruskan demi mencapai matlamat dan objektif agar kejayaan dapat dikecapi. InsyaALLAH.

Ikhlas Daripada Saya,

HASIDY HARUN





JOM KLIK SAYA DISINI ! ! !