Bismillah Hirrahman Nirrahim.
Entri kali ini saya ingin berkongsi sedikit coretan mengenai pengalaman mendaki sebuah bukit ditempat kelahiran saya di Tawau iaitu Bukit Gemok. Sudah lama saya ingin mendaki bukit ini, tetapi malangnya tidak berkesempatan. Kali ini saya berpeluang untuk mendakinya bersama 2 rakan saya. Sebenarnya, kami bertiga tidak merancang dengan teliti untuk mendaki bukit ini, akan tetapi, secara kebetulan kami tidak mempunyai sebarang aktiviti pada hari pendakian tersebut (04 Januari 2014). Jadi, untuk mengisi masa itu, diantara kami mengemukakan cadangan untuk mendaki bukit tersebut dan dipersetujui. Tepat jam 3 petang, kami mendaki bukit tersebut.
Papan tanda pintu masuk Bukit Gemok, Tawau atau dikenali sebagai
Pusat Sejadi Bukit Gemok, Tawau, Sabah.
Sebagai pengenalan ringkas mengenai bukit ini, bukit ini terletak dikawasan rizab hutan yang telah digazetkan oleh Kerajaan Negeri Sabah sebagai Pemeliharaan Hutan Simpan Kelas I pada tahun 1949. Ia merupakan hutan hujan khatulistiwa semulajadi yang terletak di kawasan diantara Kg Pasir Putih dan Kg Sungai Imam di Tawau. Jarak antara Bukit Gemok dengan Bandar Tawau adalah lebih kurang 12 km atau lebih kurang 15 minit perjalanan. Untuk ke Bukit Gemok ini, pengunjung tempatan dan pelancong boleh melalui Jalan Utara Baru atau Jalan Kuhara yang akan bertemu di Jalan Merotai-Kalabakan berdekatan penempatan yang dikenali sebagai Jambatan Putih. Puncak bukit ini berada pada ketinggian lebih kurang 400 meter dari aras laut.
Pintu pagar "Steel" Bukit Gemok, menyambut kedatangan kami yang tidak diundang, yang tidak dirancang.
Papan tanda makluman kadar bayaran yang dikenakan lepada pengunjung dan papan tanda tunjuk arah serta lokasi rekreasi di Bukit Gemok.
Bagi pelancong luar negara dan tempatan (luar daerah) khususnya mereka yang melancong ke Tawau melalui agen pelancongan, pakej melawat ke Taman Bukit Gemok, Tawau juga disediakan. Apa yang menarik dan menjadi perhatian di Bukit Gemuk ini adalah Canopy Bridge yang dibina di puncak bukit ini. Dikatakan Canopy Bridge atau sebutan Bahasa Melaysia, Jambatan Gantung yang dibina diantara pokok ke pokok ini merupakan Canopy Bridge ke-dua terpanjang di Negeri Sabah selepas Canopy Bridge di Taman Kolam Air Panas Poring di Daerah Ranau, Sabah. Canopy Bridge di puncak Bukit Gemuk ini diberi nama Titian Silara. Asal-usul dan cerita disebalik nama Titian Silara hanya staf Jabatan Perhutanan terbabit dan para sejarawan daerah Tawau saja yang mungkin tahu atau mungkin juga gelaran itu diambil daripada sejenis spesis pokok yang ditemui dikawasan puncak di Bukit Gemuk itu. Itu sekadar tekaan daripada saya.
Bagi memastikan perjalanan dan laluan kami ke Puncak dan Titian Silara di Bukit Gemok, saya memerhati papan tanda laluan sebagai rujukan sebelum mendaki.
Saya dan rakan saya, Sdra Zul gembira mendaki Bukit Gemok.
Perjalanan menuju ke puncak Bukit Gemok dan ke Canopy Bridge Titian Silara ini mengambil masa lebih kurang 45 minit dan melalui 7 pondok perhentian rehat. Jarak diantara pondok rehat ini lebih kurang 100 meter. Setiap pondok dinamakan Spesis Pokok Hutan Khatulistiwa. Kelihatan Pondok Perhentian No.6 ini dinamakan sebagai Selangan Batu
Setiap pondok perhentian juga dipaparkan petunjuk dan bilangan pondok perhentian yang telah dan akan dilalui seperti gambar sebelah atas. Kelihatan 2 jejaka "hot" atau jejaka kepenatan berehat di pondok perhentian No.6 (Selangan Batu), yakni pondok terakhir sebelum berhenti rehat di pondok perhentian No.7 di puncak Bukit Gemok yang berdekatan Titian Silara.
Walaupun perut kami nampak terkehadapan, tetapi semangat kami juga ikut kehadapan. Walaupun penat dan lengguh kaki tanpa sebarang latihan khusus tetapi berjaya juga meredah hutan separa belantara ini hingga ke puncak.
Saya, Sdra Ariffin dan Sdra Zul merakam kenangan di papan tanda Titian Silara.
Memulakan langkah masuk ke CANOPY BRIDGE TITIAN SILARA - 231 meter panjang dengan tinggi aras tanah lebih kurang 20-40 meter.
Saya berada di Titian Silara. Difahamkan tinggi Canopy Bridge Titian Silara ini adalah diantara 20-40 meter. Lutut saya rasa lenguh dan tapak kaki saya seolah-olah tidak menyentuh lantai jambatan ini kerana rasa gerun dan gayat.
Gayat tak gayat, muka nampak macho garang tapi kaki mengeletar.
Tangan mengenggam erat pada pautan.
Sepintas lalu.
Pemandangan dari Titian Silara. Kelihatan jelas perbandaran Tawau, Majlis Al-Kauthar, Kompleks Beli-Belah Eastern Plaza dan Kompleks Sukan Tawau.
Kelihatan Bukit Tanjung Batu, perkampungan Tanjung Batu Keramat, Tanjung Batu Laut ditepi laut. Manakala diseberang laut, kelihatan Pulau Sebatik dengan jelas.
Saya merakam kenangan di Canopy Bridge Titian Silara, Bukit Gemok.
Walaupun keletihan tetapi gembira dan berpuas hati.
Thumbs Up !!!
Bukit Gemok ini juga merupakan pusat sejadi atau pusat rekreasi keluarga. Terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan oleh pihak pengurusan pusat rekreasi Bukit Gemok ini yang mana kita ketahui bahawa Jabatan Hutan Negeri Sabah bertanggungjawab keatas bukit ini.
Mungkin masyarakat Tawau khususnya belum pernah mendaki atau berrekreasi di Pusat Sejadi Bukit Gemok ini, suka saya syorkan bagi mereka yang ingin merasa pengalaman berada di dalam hutan, bolehlah mencubanya di Bukit Gemok. Bukan sahaja pengalaman menahan kepenatan dan keletihan tetapi boleh melihat sendiri pokok-pokok besar bersaiz lilitan 3-4 orang berpegangan atau mungkin lebih dengan ketinggian melebihi 50 meter. Selain itu, terdapat juga serangga-serangga yang jarang kelihatan boleh ditemui sepanjang perjalanan pendakian bergantung kepada keadaan. Keadaan curam lebih 30 darjah di sepanjang perjalanan pendakian hingga ke puncak memberi cabaran yang optimum.
Diharapkan perkongsian pengalaman ini boleh memberi sedikit sebanyak menambah pengetahuan pembaca mengenai tempat-tempat menarik yang boleh dilawati di daerah Tawau.
HASIDY HARUN